Pasukan Sarawak United yang akan berwajah baharu musim hadapan di bawah pengaruh Pengarah Teknikal baharunya B Sathianathan dikhabarkan tidak akan mengekalkan khidmat pemain veteran Amri Yahyah.
Amri yang dibawa masuk ke kelab Sarawak United musim lepas merupakan antara pemain bintang yang diambil oleh kelab tersebut pada musim lepas bagi memantapkan lagi cabaran mereka di Liga Premier.
Beliau telah diberi jawatan ketua pasukan Sarawak United sepanjang musim 2020.
Jodoh bekas pemain Selangor, JDT dan Melaka itu walaubagaimanapun nampaknya tidak berpanjangan selepas akhbar tempatan melaporkan bahawa beliau mungkin akan digugurkan.
Buat masa ini, belum ada pengesahan rasmi berkenaan perkara tersebut, namun Sarawak United dijangka akan membuat pengumuman rasmi senarai pemainnya sebelum tahun ini berakhir.
Kini, kelab tersebut telah sah mengambil pemain kebangsaan Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha sebagai antara muka baharu untuk musim hadapan.