PERLAWANAN Sarawak-Sime Darby di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching Jumaat ini dilihat sebagai “aksi penentu juara”.
Walaupun masih ada tujuh baki perlawanan, namun aksi tersebut mampu memberikan gambaran awal tentang calon juara. Bagi jurulatih Sarawak Robert Alberts mereka mesti menundukkan Sime Darby jika mahu bergelar juara.
“Tidak boleh tidak… kami perlu mengatasi Sime Darby sekiranya mahu meraih kejuaraan,” jelas Alberts. “Oleh itu, para pemain perlu meningkatkan prestasi. Sime Darby bukanlah calang-calang pasukan.
Kami perlu beraksi pada tahap terbaik untuk mengalahkan mereka,” ujarnya. Sekiranya Sarawak menang, maka Sarawak akan memintas Sime Darby di tangga teratas.
Manakala Sime Darby hanya perlu seri untuk terus menguasai carta liga.
Menurut Alberts, pengalaman menentang pasukan handal seperti Kelantan dalam kempen Pial FA sedikit sebanyak memberikan kebaikan kepada mereka.
“Kami telah membuktikan bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan seperti Kelantan… jadi tiada alasan untuk kami terlalu menghormati Sime Darby,” ujarnya.
Sesungguhnya Sarawak mempunyai dua misi penting dalam perlawanan Jumaat ini. Pertama, mahu memintas Sime Darby, manakala kedua mahu meleburkan rekod tanpa kalah Sime Darby di samping mengekalkan rekod kebal diri sendiri.
Sumber: Utusan Sarawak