Penyerang kebangsaan Ahmad Fakri Saarani dikatakan kini berada di Kuching bagi membincangkan peluang bermain bersama Sarawak.
Menurut laman Facebook Shoot Sampe Bisak Net Tiang Gol Ya (SSBNTGY), Ahmad Fakri dikatakan telah tiba di Kuching pada tengahari ini tadi dan kedatangan beliau adalah untuk melaksanakan rundingan kontrak bersama Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS). Buat masa ini, belum ada sumber Persatuan Bolasepak Sarawak mahupun rakan SarawakCrocs.com boleh mengesahkan berita ini.
Ahmad Fakri pernah bermain untuk kelab divisyen tiga Atlético S.C di Liga Portugal dan telah kembali ke Malaysia untuk menyarung jersi Kelantan pada 2013.
Beliau merupakan nama yang tidak asing di dalam skuad Harimau Malaya dan telah menjaringkan tidak kurang 31 goal sejak mula bermain secara profesional.
Adalah difahamkan bahawa beberapa pemain ternama Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan jurulatih baharu Sarawak, K Rajagobal akan turut sama hadir di Kuching dalam masa terdekat bagi menyertai skuad Bujang Senang untuk musim 2016.