AFC tangguh semua pertandingan hingga Jun

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memutuskan untuk menangguhkan semua perlawanan dan pertandingan yang dijadualkan berlangsung sepanjang Mei dan Jun.

Penangguhan ini adalah sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh badan tersebut.

Bernama melaporkan bahawa penangguhan semua perlawanan dan pertandingan itu adalah susulan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan COVID-19.

AFC dalam satu kenyataan dipetik berkata bahawa keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, para pegawai, peminat dan semua pemegang taruh, semasa tercetusnya pandemik COVID-19.

“AFC juga akan sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan-kejohanan Kelab AFC, dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Kejuaraan AFC dan Piala Peringkat Kumpulan AFC,” kata badan induk bola sepak Asia itu.

Badan pentadbir bola sepak Piala Asia itu memantau dengan rapi perkembangan pandemik COVID-19, dan sebelum ini menangguhkan semua perlawanan yang dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai dan Kuala Lumpur.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top