5 sebab kenapa David Usop patut diberi peluang menjadi Ketua Jurulatih tetap Sarawak

Jika dikira kali ini, David Usop telah mengambil alih pasukan Sarawak sebanyak dua kali daripada jurulatih yang terdahulu. Sepanjang ini berlaku, beliau telah bukan sahaja berjaya mengemudi pasukan Sarawak menjadi lebih stabil, malahan berjaya memastikan Sarawak tidak tersingkir daripada saingan Liga Super. Tidak cukup dengan itu, David juga berjaya membawa pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘Bujang Senang’ bersaing di dalam peringkat Liga Super dan Piala Malaysia.

Di sini, kami menyimpulkan 5 sebab kenapa kami merasakan David harus diberi peluang sepenuhnya menjadi ketua jurulatih penuh pasukan Sarawak.

TAHU PERANAN PEMAIN

Coach, david usop, arahan

Sememangnya ramai mengetahui bahawa David telah lama berkhidmat bersama pasukan Sarawak, dan dengan ramai pemain muda Sarawak kini diserap ke pasukan utama, termasuk kehadiran pemain veteran yang telah biasa dengan David.  Ini memberikan kelebihan kepada David dalam membuat percaturan terbaik kerana dilihat mampu meletakkan pemain di posisi terbaik, sekaligus membolehkan pemain bermain dengan lebih selesa dan bersemangat.

PENGALAMAN BELUM TERUJI PENUH

Sarawak training 2016 2
David telah bersama pasukan Sarawak untuk jangkamasa yang agak lama.  Beliau yang pernah mengemudi pasukan muda Sarawak, telah diserap ke pasukan senior apabila Robert Alberts menjadi jurulatih baharu pasukan Sarawak. Sepanjang tempoh tersebut, beliau belum pernah diberi satu musim penuh untuk memimpin pasukan Bujang Senang, walaupun kerap kali diberi tugas mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih Sarawak selepas seseorang jurulatih dipecat, yakni pada akhir 2015 dan kini, pada 2016. Di dalam dua ketika ini,  David telah berjaya menghasilkan keputusan yang memberangsangkan walaupun beliau terpaksa menggunakan pemain yang bukan dipilih beliau. Dalam pada itu, jika David menjadi ketua jurulatih tetap dan diberi kebebasan memilih pemain sendiri bagi mengharungi liga,  seterusnya ini akan membolehkan beliau menunjukkan kebolehannya sebenar beliau sebagai jurulatih.

DISENANGI PEMAIN DAN PEMINAT

Tommy Mawat masuk
Walaupun kami tidak berapa pasti berkenaan hubungan David dengan pemain Sarawak, namun pengamatan kami menggambarkan pemain menyenangi David dan personaliti beliau. Ini adalah satu petanda baik kerana pemain perlu akan dorongan untuk berjaya dan memberikan persembahan terbaik tanpa perlu mereka diberikan tekanan untuk beraksi dengan baik. Dalam satu temuramah bersama kami, penyerang import Sarawak, Gilmar da silva Filho mengakui bahawa David memberikan beliau banyak keyakinan untuk memberikan prestasi terbaik.  Dari segi hubungan dengan peminat, David dilihat lebih mudah didekati oleh peminat dan mudah mengukir senyuman.

TELAH BERGURU DENGAN RAMAI JURULATIH

David Usop
Jika perkiraan kami tidak silap, David telah dibawa masuk sebagai pembantu jurulatih Sarawak pada era Robert Alberts. Selepas Robert meninggalkan Sarawak, David telah menjadi pembantu kepada Fuad Gbersic, sebelum diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan Sarawak di Piala Malaysia 2015. Awal tahun ini, David telah menjadi pembantu kepada jurulatih elit, K Rajagobal, sebelum beliau diberi tanggungjawab untuk mengambil alih pasukan Bujang Senang. Sepanjang menjadi pembantu kepada jurulatih ternama di negara ini, David sudah pasti berjaya mempelajari sedikit sebanyak berkenaan selok belok mengemudi pasukan bolasepak agar berjaya, dan kini peluang wujud untuk beliau menunjukkan kemahiran tersebut sebagai ketua jurulatih. Tidak cukup dengan itu, David juga pernah menjadi Ketua Jurulatih bagi pasukan belia Sarawak.

SEMANGAT ANAK JATI SARAWAK

David Usop
Tidak dinafikan bahawa semangat anak jati Sarawak adalah sesuatu yang luar biasa, dan David memilikinya 101% semangat tersebut kerana beliau adalah anak jati Sarawak. Berbekalkan darah kepahlawanan Iban yang mengalir di dalam dirinya, kami percaya David akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan pasukan Sarawak akan terus berjuang habis-habisan bagi memastikan nama Sarawak unggul di persada bolasepak Sarawak dan antarabangsa.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top