Jurulatih sementara Sarawak, David Usop hari ini menyatakan beliau berpuas hati dengan undian kumpulan bagi Piala Malaysia.
David yang dihubungi kami selepas Majlis Pengundian Piala Malaysia malam tadi menyifatkan semua pasukan memiliki peluang yang seimbang untuk mara ke pusingan kedua pertandingan berprestij tersebut.
Pasukan Kedah walaubagaimanapun disifatkan oleh David sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian lebih oleh pasukan Sarawak kerana pasukan tersebut mempunyai gabungan pemain import dan pemain muda yang baik.
Jika dikekalkan sebagai jurulatih Sarawak sehingga bermulanya Piala Malaysia, David dilihat mampu meneruskan usaha beliau untuk membawa pulang piala tersebut ke Sarawak selepas misi tersebut terbantut di Suku Akhir pada musim lepas.
Pada musim lalu, David telah diberi tanggungjawab untuk mengambil alih pasukan Sarawak dari Fuad Gbersic yang diarahkan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak untuk kembali melatih pasukan bolasepak SUKMA.
Sarawak belum pernah memenangi Piala Malaysia sehingga kini, dan peminat rata-rata berharap musim 2016 adalah musim bertuah bagi pasukan kesayangan mereka.