Sebuah pasukan yang menggunakan warna merah untuk bermain di satu liga di Malaysia dikhabarkan tidak lagi memiliki kemudahan gim.
Hal ini dimaklumkan kepada kami oleh satu sumber yang enggan dikenali kerana beliau cukup dikenali di dalam arena bola sepak tempatan.
Sumber ini mendakwa pasukan bola sepak ini sudah tidak dapat mengunjungi gim kebiasaan mereka kerana mereka memiliki bayaran tertunggak.
Beliau mendakwa lagi bahawa pasukan bola sepak tersebut sudah beberapa minggu tidak dapat ke gim kerana masalah ini.
Ketiadaan gim juga bermakna sesi latihan pasukan tersebut hanya boleh dijalankan di atas padang terbuka, dan itulah yangtelah dilakukan pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.
Sumber sama turut mendakwa bahawa pasukan bola sepak ini kini sudah mempunyai hutang tertunggak melibatkan tiga gim berlainan di sekitar bandaraya namun beliau mengakui tidak tahu jumlah yang dihutang. Beliau juga mendakwa bahawa gim-gim yang terlibat adalah gim yang agak ternama.
Dalam perkembangan sama, pasukan ini kini sedang bersedia untuk satu perlawanan penting yang bakal menentukan status dan kedudukan mereka untuk tahun hadapan.
Jika tewas perlawanan ini, pasukan ini mungkin akan terpaksa dibubarkan atau bermain di dalam pertandingan lebih kecil berbanding yang mereka telah sertai sebelum ini.