Kelab bola sepak Liga Super, Sabah FC, berjaya melakar kemenangan pertama malam ini selepas menundukkan pasukan Terengganu FC di Likas malam ini tadi.
Biarpun menang, Sabah terpaksa menunggu sehingga minit ke – 37 untuk menjaringkan gol pertama yang mana disempurnakan oleh Levy Clement Madinda melalui sepakan penalti.
Sam Garyahzon Johnson melebarkan penguasaan pasukan tuan rumah sebelum wisel babak pertama tamat apabila menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-41.
Gol kedua tersebut terhasil daripada gerakan menarik Madinda yang membuka ruang kepada Johnson untuk meledakkan gol kedua pasukan Sabah.
Bersambung babak kedua, Sabah terus menekan untuk melebarkan lagi jurang gol.
Sungguhpun demikian, cubaan demi cubaan dari pemain Sabah, khususnya dari pemain import Saddil Ramdani gagal menerjah jaringan.
Sebaliknya, pemain import Terengganu, Jordan Mintah yang berjaya menjaringkan gol untuk pasukan pelawat pada minit ke-78.
Kedua – dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun kedudukan 2 – 1 memihak Sabah kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan Sabah mengecapi kemenangan pertama pada musim ini.