Terengganu FC masih perlu berusaha keras walaupun gah di Kumpulan A

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Abdul Shukor Jusoh menyifatkan perjalanan pasukannya untuk mengulangi pencapaian terbaik layak ke pentas final Piala Malaysia tidak semudah yang dijangka biarpun unggul sebagai pendahulu Kumpulan A dengan kelebihan sembilan mata.

Musim lalu, skuad Penyu layak ke pentas final Piala Malaysia tetapi hajat untuk menjulang trofi tertua di Asia Tenggara itu tidak kesampaian apabila tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Perak selepas terikat 3-3 sepanjang 120 minit di Stadium Shah Alam.

Mengimbau kembali kekecewaan itu, Shukor menegaskan dia tidak rela menyaksikan TFC mengulangi kesilapan itu tetapi dalam masa yang sama pasukan berpangkalan di Pantai Timur tersebut lebih berminat untuk fokus satu demi satu perlawanan berbanding memikirkan laluan ke pentas final pada musim ini.

Kata pemain berusia 30 tahun itu, TFC masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi keempat Kumpulan A, 23 Ogos lalu.

“Buat masa ini, persiapan TFC lebih tertumpu kepada tahap kecergasan dan beberapa perlawanan persahabatan akan diadakan (bertemu Felda United dan UiTM FC) nanti.

“Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan ia masih terlalu awal untuk bercakap peluang kami layak ke pentas final pada musim ini sebagaimana kami berjaya lakukan pada tahun lalu.

“Ini kerana kami masih belum sempurna selepas tewas kepada Negeri Sembilan dan apa yang kami dapati sikap mengambil mudah menyebabkan TFC dihukum ketika menentang Negeri Sembilan.

“Jadi, saya berharap kesilapan itu tidak akan berulang pada masa akan datang dan buat masa ini, kami lebih berminat untuk fokus satu demi satu perlawanan sebelum bercakap mengenai peluang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.

TFC akan kembali membuka aksi Piala Malaysia bertemu Kedah pada Jumaat depan pada aksi kelima sebelum menutup kempen Kumpulan A berkunjung ke PKNS FC pada 17 September depan.

Sebagai rekod, Terengganu muncul sebagai pendahulu Kumpulan A dengan kelebihan sembilan mata disusuli Kedah (tujuh mata), PKNS (empat mata) dan Negeri Sembilan berada di tangga tercorot apabila sekadar mengutip tiga mata sepanjang empat perlawanan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top