Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan, merasakan pasukan beliau sepatutnya menang dalam perlawanan Sarawak United menentang pasukannya malam Sabtu lalu.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan merasakan bahagian pasukan serangan beliau perlu diperbaiki kerana pasukan bimbingannya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Devan juga merasakan gol Sarawak United terhasil daripada kesilapan pemainnya.
“Saya rasa kita hilang dua mata. Sepatutnya kita boleh menang. Kita lihat separuh masa pertama, kesilapan antara Anas dengan penjaga gol. Bola itu bukan bola bahaya tetapi kita bolos. Lepas itu kita mengawal perlawanan dan saya rasa kita dapat empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan kita gagal menjaringkan gol.” kata Devan selepas perlawanan.
“Kalau kita dapat menjaringkan satu atau dua gol, kemungkinan peluang kita untuk menang malam ini baik saya rasa.”ujarnya lagi.
Devan dalam pada itu berkata barisan serangannya kurang kreativiti dan beliau hanya mampu membuat pertukaran pemain tanpa mengubah taktikalnya.
“Jadi dari segi kawalan perlawanan dan perancangan, mungkin di bahagian serangan kita kurang kreativiti.
“Tetapi dalam separuh masa kedua, saya telah membuat pertukaran dan mengeluarkan pemain pertahanan dan memasukkan Farris Daniel di bahagian serangan untuk memberi bantuan kepada Zakuan kepada bahagian tengah.
“Pertukaran itu tidak banyak memberi kesan tetapi kita dapat peluang dan dalam tendangan percuma kita berjaya menjaringkan gol.
“Saya kena buat pertukaran hanya untuk menggantikan pemain. Kita tidak buat pertukaran dari segi taktikal.” jelas jurulatih berpengalaman itu.
Sunguhpun demikian, Devan tetap merasakan bahawa satu mata daripada perlawanan menentang Sarawak United adalah cukup berharga.
“Saya rasa satu mata sungguh berharga dan kita masih menduduki tempat pertama dalam carata dan tahniah diucapkan kepada semua pemain.” kata Devan lagi selepas perlawanan.
Sarawak United dan Negeri Sembila sekadar berkongsi mata pada perlawanan Liga Premier Sabtu lalu dengan keputusan tersebut tidak mengubah kedudukan kedua – dua pasukan yang kini mendahului carta Liga Premier.