Tempat di Liga Super dalam perhatian Abu Kamara

Penyerang baharu Kuching City FC, Abu Kamara tidak mahu kehadirannya ke Malaysia buat kali pertama menjadi sia-sia apabila ingin membantu skuad layak ke pentas Liga Super musim depan.

Pemain berasal dari Liberia ini tidak menolak perasaan berbelah bahagi apabila mendapat tawaran beraksi bersama Kuching City kerana belum pernah ada pengalaman berada di pentas Liga Malaysia.

Namun, keinginan yang tinggi untuk mengubah haluan berada di Malaysia buat kali pertama membuatkan Kamara tekad mengikat kontrak bersama Kuching City sekali gus sedar tugas yang penting bagi memastikan skuad ini berjaya ke Liga Super 2023.

Penyerang berusia 25 tahun ini berpengalaman beraksi di Laos, Kosovo, Slovenia dan North Macedonia.

“Pada mulanya agak susah untuk membuat keputusan sebab saya ada pilihan lain juga dan benda pertama ada di fikiran adalah untuk datang dan lihat sendiri bagaimana liga di sini berlangsung.

“Ianya agak sukar sebab berbeza apabila beraksi di sini dan sebelum ini saya banyak beraksi di Eropah.

“Tetapi sekarang saya hanya nak buat yang terbaik untuk pasukan dan benda pertama ada dalam fikiran saya adalah untuk membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pencapaian peribadi saya tidak penting sebab fokus adalah untuk bantu pasukan, jadi saya akan buat terbaik dan jika berpeluang, saya akan cuba jaringkan gol dan bantu pasukan untuk capai apa yang mereka inginkan”, katanya.

Kehadiran Kamara pastinya akan membantu bahagian depan pasukan selain dia juga dijangka akan membentuk gandingan terbaik dengan seorang lagi penyerang import baharu iaitu Keanu Marsh-Brown dari England.

Kamara tidak menolak Brown merupakan pemain yang berkualiti selepas beberapa hari melakukan latihan bersama dan percaya mereka mampu melakukan kejutan untuk Kuching City di saingan Liga Premier musim ini.

“Saya baru berjumpa dengan dia dalam latihan untuk beberapa hari lepas dan dia merupakan pemain yang bagus.

“ Saya boleh rasakan kami ada hubungan yang baik apatah lagi dia memang pemain yang berkualiti dan kami akan dapat melakukan yang terbaik untuk pasukan.

“Kami di sini (Kuala Lumpur) sekarang pun sebab ada perlawanan persahabatan dan ia akan menjadi persiapan untuk saya membiasakan diri dengan pemain-pemain tempatan lain.

“Ia akan menjadi persediaan yang sangat bagus dan kami di sini akan melakukan yang terbaik untuk elakkan kecederaan, elakkan dijangkiti Covid-19, menjadi lebih sihat dan ianya bukan untuk mencari kemenangan semata-mata”, tambahanya.

Perlawanan persahabatan pertama Kuching City telah berlangsung pada Selasa lalu menyaksikan mereka tewas 1-6 kepada Negeri Sembilan FC di mana gol tunggal itu telah dijaringkan oleh Kamara.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim akan meneruskan aksi persahabatan kedua menentang PJ City FC pada malam ini. – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top