Pasukan B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat memiliki peluang agak cerah untuk memajukan diri ke peringkat seterusnya di dalam pertandingan bola sepak Sukan SEA selepas diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste.
Acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 akan berlangsung di Manila, Filipina, 26 November hingga 9 Disember 2019.
Menurut kenyataan dari Persatuan Bolasepak Malayia, ketua jurulatih pasukan bola sepak Malaysia, Ong Kim Swee, dipetik sebagai berkata bahawa undian tersebut ‘cukup baik’.
Kim Swee dipetik sebagai berkata “Jika dilihat di atas kertas, memang satu peluang cukup baik untuk kita layak ke peringkat seterusnya.
“Tapi kita tak boleh ambil mudah kerana pasukan lain sudah bersiap lebih awal, terutamanya dengan peraturan dua pemain lebih umur yang pasti akan memberi kekuatan seimbang kepada semua pasukan, lebih-lebih lagi tuan rumah, Filipina.
“Kita tak boleh memikirkan untuk pingat emas buat masa ini. Kita harus memikirkan bagaimana untuk layak ke separuh akhir dan bagaimana untuk kita bermain di separuh akhir dan layak ke final.
“Jadi untuk mendapatkan pingat, memang sasaran kita. Tapi biar kita tumpu terlebih dahulu peringkat kumpulan ini sebelum kita memikirkan lebih jauh.”
Dalam perkembangan sama, pasukan B-22 kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat pada 4 November 2019 dan seterusnya mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan dan satu perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November 2019.
Kumpulan B acara bola sepak SUkan SEA 2019 pula akan menampilkan juara bertahan Thailand bersama-sama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.
Pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur 2017, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.