Arena bolasepak Sarawak telah mencatatkan keputusan sangat memberangsangkan di dalam beberapa minggu ini dengan beberapa keputusan positif diperolehi dari hampir segenap lapisan bolasepak Sarawak.
Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Dato Sudarsono dalam pada itu melahirkan kegembiraan beliau berkenaan keputusan-keputusan memberangsangkan tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada pasukan senior Sarawak yang berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Kuching yang kini selangkah lagi untuk dijadikan juara sulung Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan, pasukan Piala Presiden yang telah menang dua kali berturut-turut, dan pasukan Belia Sarawak yang berjaya mengekang kemaraan pasukan Sabah.
Sudarsono turut mengucapkan tahniah kepada tiga pemain bolasepak wanita Sarawak, yakni Rabiah Bashriyah Abdul Kadir, Merydiana Sundawat & Rogayah Ali yang telah dipanggil untuk mewakili Malaysia.
Di akhir kenyataan ringkas Sudarsono yang dipaparkan di laman Facebook rasmi FAS, beliau melahirkan harapan bahawa semua keputusan positif ini akan bertahan dan sekaligus membolehkan bolasepak Sarawak kembali ke era kegemilangan.