Penjaga gol Sarawak, Shahril Saa’ri telah dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama tujuh hari ekoran masalah kesihatan yang menyebabkan beliau dimasukkan ke dalam hospital baru-baru ini.
Menurut Shahril ketika dihubungi SarawakCrocs.com, masalah kesihatan beliau ini sememangnya sudah dirasai sebelum ini namun keputusan pengimbasan di hospital pada awalnya mengesahkan bahawa ianya bukan masalah besar yang perlu dirisaukan.
Sungguhpun demikian tambah Shahril, selepas tiga hari berpuasa, rasa sakit ekoran masalah tersebut semakin teruk, sekaligus memaksa beliau pergi sekali lagi ke hospital.
Hasil daripada pemeriksaan baru tersebut, doktor mengesahkan bahawa beliau terkena jangkitan kuman, dan diminta berehat selama seminggu. Beliau hanya akan tahu selepas seminggu jika dibenarkan oleh doktor untuk kembali menyertai sesi latihan pasukan Sarawak, atau terus berehat selama beberapa hari lagi.
Masalah kesihatan Shahril berkemungkinan akan menyebabkan Shahril terpaksa melupakan hasrat menyertai rakan sepasukannya ke Semenanjung Malaysia untuk perlawanan persahabatan menentang PKNS dan Kuala Lumpur yang dijadualkan minggu hadapan.
Sunguhpun demikian, adalah diharapkan bahawa Shahril akan sihat dan berupaya terus menabur bukti kepada pasukan Sarawak.