Selamat tinggal Babic!

KUCHING: Spekulasi hangat berhubung pemergian Ivan Babic terjawab setelah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengesahkan menamatkan kontrak pemain berusia 28 tahun itu berkuat kuasa kelmarin.

Menurut kenyataan Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman di sini semalam tempat Babic akan diganti oleh penyerang import dari Bosnia Harzegovina, Muamer Salibasic setelah FAS berjaya memperolehi Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu kelmarin.

Babic yang berasal dari Croatia mula menyarung jersi Sarawak pada awal musim ini dan sepanjang penampilannya, beliau telah menjaringkan lima gol dengan jaringan terakhirnya ketika Sarawak seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Darul Aman.

Beliau membuat penampilan terakhir ketika Sarawak tewas 0-2 di tangan Kelantan SALIBASIC pada pertemuan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts, Babic telah memberikan sumbangan berharga kepada skuad namun beliau memerlukan pemain yang lebih berkualiti untuk membawa Sarawak ke Liga Super pada musim depan.

“Terima kasih kepada Babic atas sumbangannya sepanjang bersama Sarawak awal musim ini dan kami berdoa agar beliau terus berjaya dalam kariernya di kelab lain,” jelas Alberts.

Sementara itu, Salibasic, 28, yang sebelumnya dilaporkan kempunan untuk menyertai Sarawak lega setelah rundingan antara FAS dan Persatuan Bola Sepak Bosnia mencapai persetujuan.

Beliau yang pernah beraksi dengan Kelab Slovan di Republik Chech akan bermain di posisi penyerang dan membuat penampilan pertama menentang Perlis di Stadium Negeri semalam.

“Salibasic tidak sabar untuk bermain dengan Sarawak biarpun turut diburu oleh Kedah.

Dia menyukai Sarawak kerana suasana persekitaran di sini amat menyenangkan,” jelas Alberts.

“Saya yakin dengan kemampuan Salibasic kerana beliau pantas, boleh melakukan hantaran dengan baik dan pada masa yang sama mampu menjaringkan gol.

“Beliau jug a boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan baik bersama pemain-pemain lain, di samping mempunyai kemahiran tinggi mengawal bola,” katanya.

Alberts mengharapkan kehadiran Salibasic akan mampu mempertajam barisan serangan Sarawak dalam usaha memburu mahkota kejuaraan liga sekaligus melayakkan mereka ke liga utama pada tahun depan.

Sumber: Utusan Borneo

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top