Biarpun menang tempoh hari, ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan enggan mendabik dada kemenangan Ahad lalu ke atas Kelantan United.
Jurulatih berpengalaman itu mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki pasukan menjelang aksi berdepan Perak FC II malam esok.
Dengan kecederaan buku lali yang dihadapi pemain import Lee Chang Hoon dan Tommy Mawat Bada menyaksikan beliau terpaksa melakukan beberapa perubahan pemain untuk perlawanan di Stadium Perak nanti.
“Sebenarnya memang saya kena melakukan penambahbaikan selepas menilai perlawanan pertama tempoh hari.
“Walaupun kita menang, tetapi dua gol itu dijaringkan pada separuh masa pertama dan selepas itu, kita dah dapat lihat beberapa kelemahan, jadi perkara itu kita perlu perbaiki.
“Chang Hoon dan Tommy pun masih 50-50 untuk perlawanan malam esok, dan saya perlu tengok macam mana keadaan mereka terlebih dahulu”, katanya.
Sarawak United menunjukkan penguasaan apabila menentang Kelantan United hujung minggu lalu dengan kelab tersebut disenaraikan antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Liga Premier musim ini.