Sarawak sedia ‘mengamuk’

SARAWAK bersedia sedia untuk ‘mengamuk’ apabila turun menentang skuad Putrajaya FC dalam perlawanan Liga Perdana 2013 di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam esok.

Ini kerana buat pertama kalinya Sarawak akan turun dengan kesebelasan terbaik. Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui beliau begitu teruja kerana semua pemain utama boleh beraksi ekoran bebas daripada kecederaan dan penggantungan.

“Buat pertama kalinya saya akan menurunkan gandingan dua import asing hebat iaitu Guy Bwele dan Muamer Salibasic,” ujar Alberts.

“Saya cukup gembira kerana inilah kali pertama saya dapat menurunkan pasukan terbaik,” katanya. Bwele dan Salibasic bakal bergandingan di bahagian tengah bersama Shahrol Saperi. Manakala penjaring terbanyak (10 gol), Bobby Gonzalez akan mengetuai jentera serangan, sambil Azizan Baba dan Joseph Kallang Tie akan mengisi slot sayap kiri dan kanan.

Menurut Alberts, Sarawak tidak boleh keciciran mata lagi selepas ini jika mahu terus menyaingi Sime Darby di tangga teratas.

“Kami mempunyai misi yang jelas iaitu untuk naik semula ke Liga Super… jadi apa yang perlu kami lakukan sekarang ini ialah meraih kemenangan sebanyak yang mungkin,” kata Alberts. “Kami kini berada di kedudukan yang begitu stabil dan ia harus dikekalkan,” ujarnya.

Sarawak belum lagi terkalah sehingga kini dan dijangka akan melakar satu lagi kemenangan malam esok.

Sumber: Utusan Sarawak

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top