Sarawak kekal di tangga terbawah Liga Super selepas tewas 3-2 kepada pasukan Terengganu.
Terengganu membuka jaringan melalui Joseph Kalang Tie selepas rembatan lerat beliau gagal diselamatkan oleh Iqbal Suhaimi pada minit ke-13.
Sarawak mengikat kedudukan lima minit kemudian apabila hantaran Tommy Mawat ke dalam kawasan penalti Terengganu dirembat masuk oleh Ndumba Makeche.
Sarawak meneruskan asakan bertali arus ke arah pintu gol Terengganu dan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-45 apabila bola terkena tangan pemain Terengganu. Junior Aparecido yang mengambil sepakan tersebut, mudah menjaringkan gol kedua Sarawak untuk pasukan bimbingan K Rajagobal masuk ke bilik persalinan dengan hati gembira.
Pada separuh masa kedua, Sarawak terus tenggelam selepas Nordin Alias menyamakan kedudukan pada minit ke-50 dengan menyambar masuk lantunan sepakan percuma.
Ashari Samsuddin memastikan Sarawak tidak mampu membawa pulang sebarang mata dari Stadium Sultan Nassiruddin apabila mudah menewaskan Iqbal dengan satu rembatan leret pada minit ke-70.
Kekalahan ini bermakna peluang Sarawak kekal di tangga terbawah Liga Super dengan harapan ke Piala Malaysia musim ini semakin hilang.
Gambar oleh Terengganu FA.