Pasukan bimbingan David Usop gagal mempergunakan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pahang FA hari ini.
Bermain di hadapan lebih kurang 8,000 peminat menyaksikan Sarawak lebih agresif dengan melakukan cubaan serangan pada minit-minit awal perlawanan melalui Tommy Mawat, Shreen Tambi dan Mark Hartmann.
Sungguhpun demikian, Pahang perlahan-lahan mula menunjukkan taring dan mula mengatur serangan ke arah kubu Sarawak melalui hantaran pendek yang memberikan masalah kepada pemain pertahanan Sarawak.
Hantaran-hantaran pendek ini juga menyaksikan Sarawak banyak kehilangan bola di bahagian tengah dengan Pahang bijak membuka ruang dan menyekat hantaran Sarawak ke bahagian serangan.
Pada minit ke-23, Chinedu Dike yang tidak di kawal di luar petak penalti, merembat masuk gol tunggal perlawanan dengan semua pemain pertahanan Sarawak berdiri tergamam.
Sarawak cuba bangkit selepas gol tersebut, namun hantaran bola pasukan Sarawak terus mudah disekat pemain Pahang, dengan Mark turun ke bahagian tengah untuk membantu.
Kedudukan kekal sehingga babak pertama tamat.
Pada babak kedua, Sarawak cuba mencari gol penyamaan namun kemasukan Abdul Rahim dan Mohamad Hafis gagal mengubah nasib Sarawak yang terus gagal mencipta peluang berbahaya.
Sebaliknya, Pahang hampir menambah gol kedua tetapi ketangkasan penjaga gol Sarawak, Shahril Saari memastikan cubaan-cubaan Pahang gagal disudahkan.
Perlawanan banyak berlegar di kawasan tengah padang selepas itu dengan penjaga gol Pahang dikenakan kad kuning akibat membuang masa.
Pemain import Sarawak dari Korea, Lee Jong-Ho yang mengawal bahagian tengah terus dilihat gagal membuka ruang serangan untuk pasukan tuan rumah, dengan Shreen Tambi memberikan persembahan yang jauh lebih baik.
Sungguhpun demikian, pemain Sarawak terus gagal mencipta peluang dan terus gagal mendapatkan gol penyamaan sehingga masa penuh.
FT Sarawak 0-1 Pahang