Sarawak FA yang kini berdepan risiko diturunkan ke Liga M3 ekoran ‘kegagalan’ mendapatkan lesen kelab bola sepak untuk musim hadapan.
Sarawak, Kelantan FA dan UKM FC mempunyai status permohonanan lesen kelab bola sepak yang kini tergantung kerena First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM mengambil keputusan untuk tidak mengumumkan status kelab bola sepak ketiga-tiga pasukan dahulu dan menangguhkan keputusan ke tarikh 30 Oktober 2019.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), “FIB telah menggunakan kuasa yang ada untuk memberi kelonggaran kepada tiga kelab ini memandangkan ini tahun pertama dikenakan syarat lesen kelab bagi Liga Premier.”
Ini secara langsung menunjukkan bahawa ketiga-tiga pasukan tersebut, termasuk Sarawak, gagal di dalam penilaian untuk mendaptkan lesen kelab bolasepak bagi musim hadapan dan kini diberi peluang untuk memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada untuk memastikan permohonan lesen kelab diluluskan kelak.
Kenyataan FAM seterusnya menjelaskan bahawa “jika sehingga 30 Oktober 2019 mereka (Kelantan, Sarawak dan UKM) masih gagal melengkapkan kriteria-kriteria yang diperlukan, kelab berkenaan akan diturunkan ke Liga M3 2020.
Untuk tahun 2020, semua pasukan yang bertanding di Liga Premier dan Liga Super wajib memiliki lesen kelab bola sepak.
Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.
Lesen kebangsaan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.
Sarawak sudah cuba memohon lesen kelab bola sepak beberapa kali, namun setiap percubaan diakhiri dengan kekecewaan dengan permohonanan tersebut digagalkan. Adalah dikhabarkan bahawa Sarawak gagal mendapatkan lesen kelab bola sepak kerana gagal memenuhi beberapa aspek yang diperlukan untuk penganugerahan lesen tersebut.
Laluan Sarawak untuk mendapatkan lesen kelab bola sepak sebelum 30 Oktober juga dilihat mungkin agak berliku susulan dakwaan dan khabar angin yang mengatakan bahawa pihak FAS belum melunaskan gaji pemainnya, dan dakwaan dua pemain importnya bahawa mereka masih lagi belum dibayar gaji.
Jika masalah kewangan ini tidak dapat diatasi ianya akan menyukarkan Sarawak untuk mendapatkan lesen kelab bola sepak.
Maka, dengan itu, tidak perlu lah Sarawak bermain untuk perlawanan ‘play off’ Liga Premier kelak kerana tanpa lesen kelab bola sepak, Sarawak akan secara automatik bermain di Liga M3.