Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan telah menggunakan menggunakan RM2.45 juta wang Hak Penyiaran & Deposit untuk membantu beberapa pasukan membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Malaysia.
FAM dan MFL menyatakan bahawa pada 29 dan 30 Ogos 2019 lalu, mereka telah melakukan pembayaran sebanyak RM2,458,970.20 kepada enam pasukan Liga Super dan Liga Premier.
Pembayaran tersebut adalah bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan-pasukan terbabit.
Enam pasukan berkenaan terdiri daripada tiga pasukan Liga Super 2019 iaitu Melaka, Felda United dan Kuala Lumpur serta tiga pasukan Liga Premier 2019 iaitu PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak.
Menurut kenyataan FAM, pembayaran hanya dibuat kepada pemain dan pegawai yang kes tunggakan gaji atau tuntutan lain itu sudah diputuskan keputusannya oleh Jawatankuasa Status FAM.
Pembayaraan juga dibuat kepada pegawai dan pemain yang kestunggakkan gaji mereka telah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), bagi kes melibatkan pemain import.
Inisiatif untuk memotong wang hak penyiaran dan mengunakan wang deposit daripada pasukan terlibat bagi menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai ini adalah kali kedua seumpamanya dilakukan selepas FAM menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan terlibat berjumlah RM2,517,959.40 yang dipegang oleh FAM bagi menyelesaikan tunggakan gaji sebelum ini.