KUCHING: Masih segar dengan kejayaan merampas takhta Liga Perdana musim ini setelah meleburkan rekod tanpa kalah Sime Darby FC (1-0) di laman sendiri (Stadium Negeri) malam Jumaat lalu.
Justeru, Sarawak kini mahu mengukuhkan cengkaman di pesada liga apabila menjadi tetamu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka petang ini.
Kemenangan ke atas PDRM petang ini amat penting buat pasukan Ngap Sayot untuk memastikan mereka kekal di tangga teratas liga.
Sarawak kini berada satu mata di hadapan seteru utamanya, Sime Darby FC dengan mengumpul 40 mata berbanding Sime Darby FC (39 mata).
Justeru, setiap pemain yang diturunkan menggalas tugas berat harus memastikan skuad Ngap Sayot mampu meneruskan rentak kemenangan.
Bercakap kepada pemberita selepas kejayaan mengalahkan Sime Darby FC, di sini malam Jumaat lalu, Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts berkata, setakat ini anak-anak buanya menunjukkan kehebatan mereka dengan mengekalkan pasukan belum kalah dalam saingan Liga Perdana.
“Kejayaan mengekal rekod tanpa kalah harus diteruskan pada baki perlawanan seterusnya,” kata jurulatih import berpengalaman itu.
Sarawak sudah pasti terus mengharapkan sentuhan ‘ajaib’ penyerang prolifik, Bobby Gonzales dalam perlawanan menentang PDRM hari ini bagi memastikan kemenangan dapat diraih.
Selain itu, sentuhan kreatif penyerang import, Muamer Salibasic turut ditagih bagi membolehkan Sarawak menjaringkan gol sekali gus menjelmakan kemenangan.
Kekentalan barisan pertahanan diketuai Ronnie Harun perlu dikekalkan bagi memastikan gawang Ngap Sayot tidak mudah dibocori penyerang PDRM.
“saya berharap semua pemain mampu mengekalkan prestasi cemerlang mereka untuk meletakkan pasukan kita (Sarawak) terus gah di persada liga musim ini,” kata Alberts.
Sehubungan itu, Sarawak akan menjadi tuan rumah pada perlawanan seterusnya menentang pasukan kelab, NS Betaria di Stadium Negeri, Kuching pada 17 Mei (Jumaat) ini.
Sumber: Utusan Borneo