Kemenangan untuk PDRM bakal bawa padah kepada Sarawak

Pasukan Bujang Senang belum lagi selamat daripada zon penyingkiran, walaupun mereka berjaya menewaskan Terengganu FC II (T-Team GC) malam tadi.

Sebaliknya, pasukan bimbingan David Usop itu perlu menunggu perlawanan Terengganu menentang PDRM malam ini untuk melihat sama ada mereka akan kekad di kedudukan kesembilan yang dihuni kini, atau jatuh ke dalam zon penyingkiran.

Kepentingan perlawanan Terengganu-PDRM hadir kerana jarak mata di antara pasukan PDRM yang kini berada di tangga ke-11, dan Terengganu yang kini di tangga ke-8, adalah tidak jauh dengan Sarawak yang mana kemenangan kepada mana-mana pasukan tersebut akan memudaratkan skuad Bujang Senang.

Jika Terengganu menang malam ini, pasukan Sarawak berdepan risiko terus kekal di kedudukan bawahan liga dengan misi sukar untuk terus meningkat susulan perbezaan empat mata yang bakal wujud.  Situasi lebih teruk akan dihadapi jika PDRM berjaya mengatasi Terengganu, sekaligus menyaksikan PDRM memintas Sarawak untuk meletakkan Sarawak di kedudukan ke-10 Liga Super.

Dengan jadual pertandingan Liga Malaysia yang padat, ditambah lagi dengan kecederaan yang melanda barisan pemain utama Sarawak, keadaan jelas tidak memihak kepada skuad Bujang Senang yang kini perlu bergantung harap kepada kemahiran taktikal David dan semangat juang anak Sarawak.

Walaubagaimanapun, peminat Bujang Senang sememang berharap ramuan David bakal menjadi agar Sarawak boleh sekurang-kurangnya terus kekal di Liga Super pada musim hadapan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top