Kedatangan Sabri Sahar ke Stadium Negeri mendapat berita kurang memberangsangkan hari ini apabila sebuah akhbar tempatan dipetik sebagai melaporkan bahawa pemain tersebut masih lagi terikat kepada Persatuan BolaSepak Sabah (SAFA).
Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, pihak SarawakCrocs.com telah berusaha mendapatkan lebih maklumat berkenaan status pemain muda kelahiran Sabah tersebut dari sumber dipercayai dari Sabah.
Menurut sumber kami, sememangnya Sabri masih lagi terikat bersama skuad Sang Badak, namun ianya hanyalah sehingga hujung November ini.
Dalam pada itu menurut mereka, Sabri telah mengesahkan sendiri bahawa beliau tidak akan lagi bersama skuad Sabah, dan telahpun bersetuju untuk mengikat kontrak bersama skuad Sarawak bagi musim hadapan.
Sungguhpun demikian, sumber tersebut tidak dapat mendedahkan samada Sabri sudah menandatangani kontrak bersama Sarawak kerana perkara sedemikian hanya boleh didedahkan selepas Sabri telah menamatkan kontraknya bersama SAFA.
Menurut satu lagi sumber kami, Sabri hampir pasti milik Sarawak kerana penghijrahan beliau dari Sabah bukanlah atas faktor gaji, namun kerana status Liga Super yang lebih tinggi.