Sabah bermula garang di Liga Premier

Skuad Badak tidak membuang masa untuk memulakan misi kembali ke Liga Super dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Merdeka petang tadi.

Perlawanan yang bermula pada jam 4:45petang itu dibuka secara percuma untuk tatapan warga kota Kuala Lumpur dengan beberapa pemain bintang Sabah seperti El-Hadji Diouf, Abdoulaye Faye dan Eamon Zayed disenaraikan Justin Ganai di dalam kesebelasan utama Sabah.

Kuala Lumpur yang membariskan bekas pemain import Sarawak Kalle Sone berusaha untuk mencari gol awal perlawanan, namun kehebatan Diouf terserlah ababila berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada minit ke-43 perlawanan.

Penalti tersebut diberikan pengadil apabila Ahmad Jihad menjatuhkan Leopold Alfonso di dalam kawasan penalti selepas Badrol Hanapi gagal mendakap kemas satu cubaan ke gawang Kuala Lumpur.

Babak separuh masa kedua menyaksikan Sabah menggandakan kelebihan keatas pasukan tuan rumah apabila Shafuan Adli Shaari menggegarkan jaring Kuala Lumpur pada minit ke-53 melalui satu tolakan mudah ke gawang yang dikawal Badrol Hanapi.

Kelebihan dua gol milik Sabah itu berterusan sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Sabah pulang ke Kota Kinabalu dengan tiga mata penuh.

Dalam perlawanan lain, NS Matrix mudah menewaskan pasukan DRB Hicom 3-1, dan pasukan Johor DT II berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan UiTM FC di Stadium UiTM.

Satu lagi perlawanan yang berlansung petang tadi menyaksikan PKNS mudah menewaskan T-Team 2-0.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top