Kedudukan Robert Alberts di hujung tanduk?

Pihak SarawakCrocs.com mendapat sedikit perkhabaran bahawa status Robert Alberts selaku ketua jurulatih Sarawak mingkin berakhir musim ini jika skuad Bujang Senang gagal menunjukkan prestasi yang memberansangkan di dalam Liga Malaysia.

Menurut sumber kami, kemesraan Robert terhadap media massa, yang mana menyaksikan beliau sering memberikan komen berkenaan perkara-perkara sensitif seperti perpindahan dan gaji pemain, juga kurang disenangi oleh sesetengah pihak. Sumber sama turut memaklumkan kepada kami bahawa wujud sedikit ‘masalah’diantara Robert dengan jurulatih skuad Piala Belia dari bosnia, Fuad Grbesic.

Sungguhpun demikian, kemerosotan prestasi Sarawak di atas padang adalah punca paling utama yang dikaitkan dengan status Robert yang dilihat semakin goyah.

Sungguhpun berjaya membawa Sarawak menjuarai Liga Premier pada tahun 2013, prestasi sama dilihat sukar diulangi oleh Robert di Liga Super dengan skuad Sarawak kini bergelut mencari rentak selepas tewas tiga kali berturut-turut.

Di dalam Piala FA, Sarawak tersingkir awal selepas tewas kepada Kelantan di tempat sendiri, sekaligus menyaksikan Sarawak kini hanya mempunyai peluang untuk mencabar di dalam Liga Super dan pertandingan Piala Malaysia.

Komen peminat bolasepak Sarawak di laman-laman sosial juga dilihat semakin tidak menyebelahi jurulatih dari Belanda itu dengan kebanyakan daripada mereka mempersoalkan taktik Robert sambil pada masa yang sama mempersoalkan kekerapan Sarawak bertukar pemain import setiap kali jendela perpindahan dibuka.

Selain daripada itu, peminat juga dilihat mula enggan menerima alasan-alasan yang diberikan oleh Robert setiap kali skuad Bujang Senang tewas, dengan kebanyakan mereka beranggapan bahawa Robert seharusnya mencari cara untuk memperbaiki kesilapan tersebut, dan bukannya menyalahkan pihak lain di atas kekalahan pasukannya.

Sungguhpun kedudukan Robert di Stadium Negeri dilihat semakin meruncing, pihak SarawakCrocs.com percaya bahawa pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan menunggu sehingga hujung musim bagi menilai semula kontrak Robert, dan sekaligus mempertimbangkan samada beliau akan terus melatih Sarawak bagi musim2016.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top