PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berpuas hati dengan prestasi kemuncak yang ditunjukkan pemain ketika mencatat kemenangan bergaya (3 -1) keatas PDRM di gelanggang lawan Isnin lalu.
Beliau berharap, aksi konsisten serta rentak cemerlang harus diteruskan supaya mampu meraih kemenangan pada baki perlawanan yang diharungi.
“Ia merupakan kemenangan ketiga belas Sarawak setakat ini, sekali gus menggumpul 43 mata dengan empat keputusan seri dicatatkan dari 17 perlawanan dilalui setakat ini.
“Saya cukup berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan para pemain, dan saya berharap mereka akan terus konsisten selain lebih fokus pada perlawanan yang akan datang,” kata Sudarsono yang turut memuji kerja keras semua pemain.
Menurut Sudarsono, penting buat pemain memastikan tahap kecemerlangan mereka selepas ini kerana percaya pesaing terdekat (Sime Darby) akan berusaha merampas semula kedudukan ditangga teratas. Menurutnya, pemain diingatkan supaya tidak memandang mudah setiap baki perlawanan yang bakal diharungi.
Sarawak berjaya menyekat keinginan awal PDRM untuk meraih kemenangan dengan ledakan tiga gol menerusi jaringan Azizan Baba minit ke-43, Bobby Gonzales minit ke-78 dan Muamer Salibasic minit ke-80.
Perlawanan seterusnya, Sarawak akan menanti kunjungan skuad tercorot NS Betaria di Stadium Negeri, Petra Jaya Jumaat ini (17 Mei).
Sumber: Utusan Sarawak