Bujang Senang gagal kerana padang?

Padang mungkin merupakan antara faktor mengapa Sarawak buat masa ini gagal memenangi sebarang perlawanan. Begitulah pendapat seorang pemerhati dan peminat bolasepak Sarawak terhadap prestasi buruk Sarawak di awal musim Liga Super musim ini.

Menurut peminat yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Leman’, corak permainan Sarawak menampakkan kelainan dan perbezaan berbanding musim-musim sudah, dimana Sarawak kini lebih banyak menggunakan hantaran pendek dan memulakan serangan melalui gerakan serangan balas yang pantas.

Sungguhpun demikian ujar beliau, penyudah gagal memanfaatkan peluang kerana situasi padang latihan skuad Bujang Senang adalah tidak sama dengan keadaan perlawanan. Ini bermaksud hantaran bola adalah berlainan, dan corak lantunan bola juga berbeza.

Apabila ditanya dengan lebih lanjut, beliau menokok bahawa padang latihan Sarawak di Padang C yang menggunakan rumput tiruan membolehkan Sarawak menjalani latihan di dalam situasi keadaan padang yang ideal, namun Sarawak terpaksa bermain di atas padang rumput yang tidak begitu rata, dan boleh mempengaruhi kelajuan dan lantunan bola.

Situasi ini menyebabkan pemain seperti bermain di tempat asing setiap kali bermain sesuatu perlawanan di padang rumput, sekaligus memberikan kelebihan kepada pasukan yang telah berlatih dengan lebih terperinci di padang rumput.

Leman turut membandingkan prestasi Sarawak dengan pasukan wakil Singapura Lions XII pada musim lepas yang hanya gah di tempat sendiri, tetapi mempunyai masalah untuk beraksi dengan baik di tempat lawan yang menggunakan padang rumput.

Dalam pada itu, Leman yang sering ke Padang C untuk menyaksikan sesi latihan skuad Sarawak, percaya bahawa jika Rajagobal melaksanakan latihan di atas padang rumput, kemenangan yang dicari oleh pasukan Sarawak akan muncul.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top