Perlawanan play-off Liga Premier di antara Kuching FA dan Sarawak FA dikhabarkan mungkin berlangsung pada hujung bulan November 2019.
Menurut perkiraan kami, ini adalah kerana Liga M3 akan melabuhkan tirainya pada minggu ini, dan sekaligus membuka peluang kepada penjadualan perlawanan play-off Liga Premier di antara Kuching FA dan Sarawak FA.
Menurut satu sumber, perlawanan play-off seharusnya berlangsung sebelum akhir bulan Disember 2019 bagi mengelakkan masalah kontrak pemain.
Sumber yang mengakui dirinya ‘agak arif’ berkenaan isu kontrak pemain mendakwa kontrak kebanyakan pemain Liga Malaysia berakhir pada penghujung bulan November.
Oleh itu, jika perlawanan play-off di antara Kuching dan Sarawak dilangsungkan selepas tarikh itu, maka pihak pengurusan kedua-dua pasukan perlu menawarkan pemain-pemain mereka kontrak baharu.
Sumber sama mendakwa ini sekaligus membawa kepada lebih banyak masalah kepada pasukan memandangkan kontrak tidak boleh ditawarkan untuk jangkamasa terlalu pendek.
Dalam perkembangan sama, beberapa sumber lain turut mendakwa bahawa perlawanan play-off diantara Kuching dan Sarawak berkemungkinan akan dilangsungkan di venue berkecuali.
Sumber-sumber kami dari Kuala Lumpur mendakwa perlawanan mungkin akan dilangsungkan di Sabah ataupun Kuala Lumpur, namun mereka tidak menolak Stadium Sarawak juga sebagai lokasi perlawanan tersebut.
Samada benar atau tidak dakwaan sumber-sumber kami ini, sama-sama kita nantikan kerana Malaysia Football League pasti akan membuat pengumuman berkenaan status perlawanan play-off tersebut tidak lama lagi.