Piala Malaysia: Peminat mahu perlawanan terakhir Kumpulan D ditunda!

Penyokong Sarawak FA hari ini tampil dengan cadangan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar mengubah jadual perlawanan terakhir peringkat kumpulan D bagi membolehkan semua pasukan mendapat rehat dan persediaan yang mencukupi.

Cadangan tersebut didorong oleh kenyataan ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang menyatakan bahawa Sarawak FA diletakkan di dalam situasi sukar untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir berikutan jadual perlawanan yang lebih memihak kepada pasukan Lion XII.

Jadual asal menyaksikan skuad Bujag Senang akan turun beraksi di Stadium Besar pada 18 September, yakni sehari selepas pasukan lain bermain untuk peringkat kumpulan masing-masing. Menurut sumber akhbar tempatan, penjadualan tersebut adalah bagi memberikan pasukan Lions XII cukup masa untuk berehat selepas terlibat di dalam PestaBola Merdeka.

Peminat Sarawak jelas tidak berpuas hati apabila mengetahui bahawa pasukan kesayangan mereka akan hanya mempunyai kurang tiga hari untuk berehat sebelum terpaksa menerima kunjungan Perak di Stadium Negeri pada 21 September 2013.

Situasi ini jelas bertambah parah bagi pasukan Sarawak kerana mereka terpaksa mengambil masa untuk perjalanan kembali ke Kuching, sedangkan lawan mereka Perak, mempunyai kelebihan sehari berehat selepas perlawanan mereka yang dijadualkan pada 17 September.

Dalam pada itu, peminat Sarawak FA menggesa pihak FAM bertolak ansur bagi membolehkan berlaku keadilan terhadap semua pasukan, dan sekaligus meminda tarikh perlawanan terakhir semua pasukan di dalam Kumpulan D kepada hari Ahad, 22 September 2013.

Pindaan tersebut diyakini boleh memberi semua pasukan di dalam Kumpulan D, masa yang secukupnya untuk berehat dan menghasilkan perlawanan bolasepak yang berkualiti.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top