Persatuan Bolasepak Bahagian Betong (BDFA) telah melantik Abang Suhordie Abang Zaini sebagai presiden persatuan baharu tersebut.
Menurut laporan Utusan Borneo, Suhordie menggantikan Nelson Kloni Kanang yang melepaskan jawatan tersebut sebelum ini.
Nelson merupakan presiden persatuan tersebut sejak 1997, yang mana merupakan tahun persatuan tersebut ditubuhkan.
Laporan Utusan Borneo menyebut bahawa Suhordie telah memenangi jawatan presiden BDFA tanpa sebarang saingan dan diberi mandat penuh oleh ahli untuk mengetuai persatuan itu bagi sesi 2020-2022.
Suhordie yang juga merupakan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), masih terlibat secara langsung di dalam badan induk bola sepak Sarawak.
Ini adalah ekoran pelantikan beliau sebagai Exco Bebas FAS beberapa mingu yang lalu oleh Presiden FAS, Posa Majais.
Selain pelantikan presiden BDFA yang baharu, Mesyuarat Agung Tri-Tahunan BDFA turut melantik Diana Micheal selaku timbalan presiden BDFA dan tiga naib Presiden lain, yakni Azmi Abdullah, Dolhan Mut dan Azrul Azizi.
Jawatan Setiausaha dan Bendahari BDFA lapor akhbar Utusan Borneo, dikekalkan kepada Saiful Hanizam dan Saleman Senin masing-masing.