Perlawanan Sarawak menentang Pulau Pinang malam ini akan berkemungkinan menampilkan dua bekas pemain Sarawak, yakni Mafry Balang dan Sani Anuar Kamsani, yang kini bermain untuk Pulau Pinang.
Kedua-dua pemain ini dianggap antara tonggak utama pertahanan Pulau Pinang sebaik sahaja menyertai pasukan bolasepak tersebut dari skuad Bujang Senang pada musim 2015.
Sani Anuar merupakan antara penjaga gol terbaik pernah dimiliki oleh pasukan Bujang Senang semenjak lagenda bolasepak Sarawak Mazelan Wahed meninggalkan pasukan tersebut, manakala Mafry adalah pemain yang bukan sahaja berkebolehan bermain sebagai pemain pertahanan, tetapi juga pemain tengah.
Kedua-dua pemain ini juga merupakan sebahagian daripada barisan pertahanan kental yang dibina oleh bekas jurulatih Robert Alberts ketika Sarawak memenangi Liga Perdana tanpa mengalami sebarang kekalahan pada musim 2013.
Sungguhpun kedua-dua pemain ini mempunyai sejarah manis bersama pasukan Bujang Senang, mereka sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada anak didik K Rajagobal malam ini, sungguhpun menyedari bekas pasukan mereka belum lagi memenangi sebarang perlwanan pada musim ini.
Mafry terutama sekali telah banyak meningkat di bawah pasukan baharunya, dan Sani dilihat sukar ditembusi apabila diberi tugas menjaga gawang.
Dalam pada itu, penyerang pasukan Sarawak perlu bekerja keras bagi mencari ruang dan peluang untuk menjaringkan gol pada malam ini bagi memastikan mereka tidak pulang hampa dari pulau mutiara.