Adakah penggabungan bola sepak Sarawak akan berlaku?

Dengan Kuching FA kini semakin hampir dinobatkan sebagai naib juara Liga M3, dan Sarawak FA terpaksa berdepan kemungkinan menentang Kuching FA untuk perlawanan play-off Liga Premier, peminat bola sepak Sarawak, khususnya Kuching mula melahirkan harapan berkenaan perlawanan tersebut.

Rata-rata komen yang kami baca dan perolehi berkenaan perlawanan tersebut mahu perlawanan tersebut bertindak sebagai titik penanda aras kebolehan kedua-dua pasukan.

Sungguhpun demikian, ada di antara peminat melahirkan kekuatiran bahawa mungkin wujud situasi di mana Kuching akan memberi peluang kepada pasukan Sarawak.

Ini adalah memandangkan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching adalah salah satu ahli gabungan Persatuan Bolasepak Sarawak, dan kemenangan kepada Kuching akan secara langsung memberi malu kepada FAS dan Sarawak FA.

Biarpun demikian, hadir satu situasi unik yang tidak dilihat oleh ramai peminat, yang kini menjadi trend di dalam bola sepak Malaysia.

PENGGABUNGAN PASUKAN UNTUK MENYELAMATKAN KEADAAN

Situasi ini adalah penyerapan atau penggabungan pasukan ahli gabungan menjadi kepada satu pasukan, sekaligus menjadikan sesebuah tempat hanya mempunyai satu pasukan dan jenama di peringkat tertinggi Liga Malaysia.

PENGGABUNGAN PASUKAN BOLA SEPAK JOHOR

Trend ini dimulakan oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana telah mengabungkan pasukan Johor FA dan Johor FC menjadi JDT FC.

Pada ketika itu, Johor FA berada pada prestasi teruk, dan Johor FC pula dalam keadaan lebih baik.

Sungguhpun demikian, Johor FC pada ketika itu hampir tersingkir dari Liga Super, dan ini telah membawa kepada keputusan menggabungkan semua pasukan bola sepak Johor di bawah satu entiti yang dipanggil JDT pada tahun 2013.

Semenjak dari itu, JDT merupakan kuasa besar kepada bola sepak Malaysia.

PENGGABUNGAN BOLA SEPAK DI TERENGGANU

Walaupun penggabungan pasukan bola sepak di Terengganu hampir sama dengan apa yang berlaku di Johor, namun situasinya adalah agak berbeza.

Penggabungan Terengganu FA dan T-Team FC melahirkan satu kontroversi kerana ianya telah dianggap tidak adil oleh peminat bola sepak ketika ianya dilakukan pada akhir 2017.

Adalah difahamkan bahawa penggabungan dibuat atas dasar penyelarasan di pereingkat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan keputusan penyelarasan tersebut adalah penyerapan T-Team kepada pasukan Terengganu FA, yang mana akan dijenama semula menjadi Terengganu FC.

Kontroversi timbul apabila T-Team FC telah melayakkan diri secara automatik ke Liga Super untuk musim 2018, namun terpaksa terus berada di Liga Premier akibat penggabungan T-Team dan Terengganu FA.

Hakikat keputusan penggabungan hanya dibuat pada akhir musim menyemarakkan lagi perasaan tidak puas hati di kalangan peminat T-Team kerana pasukan kesayangan mereka bukan sahaja tidak akan ke Liga Super, tetapi dijenamakan semula menjadi pasukan simpanan kepada Terengganu FC, dan juga akan terus kehilangan nama.

Pada hari ini, kedua-dua pasukan Terengganu FC dan Terengganu FC II dianggap pasukan sederhana di kedua-dua Liga Premier dan Liga Super dan hadir pasukan ketiga seperti Terengganu City FC bermain di Liga M3.

CADANGAN PENGGABUNGAN PASUKAN BOLA SEPAK SELANGOR

Kini, Selangor FA dikhabarkan bakal digabungkan dengan PKNS FC bagi mewujudkan satu lagi pasukan.  Khabarnya, penggabungan kedua-dua pasukan akan menjimatkan dana.

Buat masa ini, khabar yang didengar adalah PKNS akan menjadi ‘feeder club’ kepada Selangor FA, serupa dengan Terenganu FC II dan JDT II, dengan Selangor FA bermain di Liga Super.

Terdapat beberapa individu melahirkan ketidaksenangan berhubung penggabungan ini, namun pada hemah kami, penggabung ini akan terlaksana.

Apa pun, penggabungan dua pasukan bola sepak terbesar di Selangor ini akan membawa impak yang besar kepada struktur bola sepak Malaysia kerana kedua-dua pasukan kini bermain di Liga Super.

FAS MUNGKIN GUNA TEKNIK PENGGABUNGAN MUSIM INI?

Melihat trend ini, FAS juga mungkin tergerak untuk melakukan perkara sama, yakni menggabungkan Sarawak FA dan Kuching FA menjadi satu pasukan.

Ini sudah pasti akan ‘menyelamatkan’ Sarawak FA dari tersingkir ke Liga M3.

Beberapa individu yang agak memahami bola sepak Sarawak berkata mereka tidak percaya bahawa Sarawak FA akan diturunkan ke Liga M3, sekaligus menguatkan lagi perasaan yakin bahawa berkemungkinan penggabungan akan dilakukan.

Ini ditambah lagi dengan hakikat FAS kini mempersiapkan diri untuk musim 2020 tanpa rasa was berkenaan kedudukan mereka di Liga Malaysia musim hadapan.  Adakah ini satu tanda FAS yakin mereka akan terus kekal di Liga Premier pada musim hadapan? Jika ya, mengapa?

Jawapannya tidak dapat kami berikan kerana hanya FAS yang mampu menjawabnnya.

Apapun, penggabungan bola sepak Sarawak bagi kami adalah satu langkah ke belakang jika ianya berlaku kerana hadir keperluan setiap bahagian di Sarawak mempunyai pasukan sendiri di Liga Malaysia.

Oleh itu, kami mencadangkan bahawa lebih baik pasukan Sarawak FA dibubarkan, dan pasukan-pasukan dari setiap bahagian dibangunkan dan diminta menyertai Liga Malaysia dengan bantuan dari pihak FAS.

Itu cadangan kami. Cadangan anda bagaimana?

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top