Jurulatih utama Sarawak, Robert Alberts dalam satu temubual esklusif bersama Mr Kopi dari SarawakCrocs.com melahirkan kekecewaan beliau terhadap situasi pasukan Sarawak pada musim 2015, yang mana beliau menyatakan bahawa beliau tidak mendapat sokongan cukup untuk membuat pasukan Sarawak lebih kental sejak dari awal musim.
Menurut Robert, beliau tidak mempunyai kuasa penuh di dalam pemilihan pemain dan hanya berperanan membuat cadangan pemain yang ingin dimiliki beliau pada musim 2015. Tugas membuat rundingan dan membawa pemain tersebut ke Sarawak bukanlah pada bahu beliau.
Tambah Robert, beliau turut kecewa apabila pemain-pemain seperti S Chanturu, Junior Eldstal, Mohd Lot & Rashid Aya dibiarkan pergi ke pasukan lain, sedangkan beliau telah meminta pemain ini disenaraikan di dalam skuad 2015. Tambah pengendali dari Belanda itu, beberapa pemain berkaliber dari pasukan lain juga turut disenaraikan untuk skuad Sarawak 2015, namun mereka juga gagal dibawa ke Sarawak. Beliau turut mengakui tidak tahu punca pemain tersebut gagal dibawa ke Kuching, namun memberi indikasi bahawa ada kemungkinan pasukan Sarawak gagal menawarkan gaji yang setimpal dengan tawaran pasukan lain.
Robert turut bersetuju bahawa ramai peminat keliru di antara fungsi beliau sebagai ketua jurulatih Sarawak dengan peranan pengurus pasukan. Pengurus menguruskan pemain, manakala jurulatih melatih pemain.
Dalam pada itu, Robert berkata bahawa seorang jurulatih di bahagian selatan Malaya sememangnya boleh dipecat kerana beliau mendapat semua pemain yang dipintanya, namun pasukannya masih gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan setakat ini di Liga Super.