Pegawai T-Team dihalau dari Stadium Negeri malam tadi

Beberapa pegawai pasukan T-Team telah dihalau dari Stadium Negeri malam tadi oleh pegawai perlawanan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kekecohan berlaku sekitar awal babak pertama perlawanan selepas pegawai FAM yang kami tidak dapat kenali tersebut, meminta pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) memastikan semua yang hadir adalah pegawai yang bekerja sahaja, dan mempunyai pas masuk rasmi yang dikeluarkan pihak FMLLP.

Pihak SarawakCrocs yang berada di Stadium Negeri turut menyaksikan keseluruhan insiden itu,  dimana pegawai bertanggungjawab dari FAS telah meminta dengan cara baik untuk pegawai T-Team tersebut keluar selepas didapati mereka tidak membawa pas rasmi untuk masuk.

Susulan kedegilan pegawai T-Team tersebut untuk beredar,  pegawai FAM tersebut telah bertindak meminta bantuan pihak polis bagi membawa pegawai-pegawai T-Team keluar. Pihak kami menyaksikan bahawa pegawai FAM bertegas bahawa hanya pegawai yang mempunyai pas sahaja boleh masuk ke stadium ketika Sarawak menjalani hukuman bermain di stadium kosong.

Semakan lebih terperinci oleh pihak kami mengenai kejadian tersebut mengesahkan bahawa arahan mengeluarkan pegawai T-Team tersebut telah datang dari FAM selepas pegawai FAM (komisioner perlawanan) tersebut mendapati ada penonton di perkarakan stadium tidak mempunyai pas pegawai.

Pegawai T-Team tersebut dikatakan tidak membawa pas rasmi mereka, dan oleh yang demikian terpaksa dikeluarkan kerana Sarawak menjalani hukuman bermain tanpa penonton,  dimana peminat tanpa pas rasmi tidak dibenarkan masuk untuk menonton perlawanan teesebut.

Menurut sumber SarawakCrocs, pegawai yang dikeluarkan adalah pengurus pasukan T-Team,  serta beberapa lagi ahli media yang terlupa membawa pas rasmi mereka.

Di dalam perlawanan tersebut, T-Team telah memenangi perlawanan melalui dua gol Makan Konate.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top