Ong Kim Swee jurulatih baru Malaysia

Jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya kini sah menjadi milik Datuk Ong Kim Swee selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)  mengumumkan beliau sebagai pengendali baharu skuad tersebut hari ini.

Menurut FAM, Kim Swee telah ditawarkan kontrak selama dua tahun dan beliau dijangka membawa skuad kebangsaan melepasi perlawanan playoff pada Jun ini untuk melayakkan Malaysia ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019.

Selain daripada itu, FAM juga mahukan Kim Swee untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan dengan sasaran tangga ke-140 dunia berbanding tangga ke-171 dunia ketika ini.

Kim Swee juga dikehendaki membawa skuad kebangsaan mencapai kejayaan pada saingan Piala Suzuki AFF 2016 yang akan berlangsung di Filipina dan Myanmar dari 20 November hingga 18 Disember ini.

Dalam komen balas, Kim Swee berharap bahawa beliau akan mendapat kerjasama semua pihak untuk mencapai semua yang diminta. Beliau mengakui tugas yang dihadapinya berat, namun bersedia untuk melonjakkan bolasepak negara ke peringkat lebih tinggi.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top