Badi kekalahan kembali menghantui Sarawak menyaksikan skuad itu tewas 1-3 di tangan Perak pada perlawanan pertama pusingan kedua saingan Liga Super 2015.
Beraksi di Stadium Perak kelmarin, tuan rumah berada di depan menerusi jaringan awang impor tnya, Charles Souza Chad pada minit ke-12.
Pemain kelahiran Brazil itu sekali lagi menghukum Sarawak dengan gol kedua pada minit ke-33 untuk memastikan Perak mendahului 2-0 sehingga berakhir babak pertama.
Sarawak berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-49 hasil jaringan penyerang import, Billy Mehmet.
Namun, kegembiraan anak-anak buah Robert Alberts tidak lama apabila Perak berjaya menambah satu lagi gol sumbangan Namkung Woong pada minit ke-60 untuk menjadikan kedudukan 3-1 hingga tamat masa perlawanan.
Ia kekalahan kelima Ngap Sayot meletakkan mereka kekal di tangga kesembilan liga dengan 13 mata.
“Kita tidak bermain mengikut apa yang telah dirancang dan membiarkan pemain lawan menguasai permainan.
“Pemain juga banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan sering kehilangan bola dengan mudah,” ujar Alberts kecewa.
Menurutnya, Perak wajar mendapat pujian setelah menampilkan corak permainan yang begitu konsisten sepanjang perlawanan tersebut.
Di sebalik rasa kecewa, Alberts tetap mengharapkan anak-anak buahnya bangkit semula pada perlawanan menentang FELDA United di Stadium Negeri, Sabtu ini (27 Jun).
“Perlawanan Sabtu ini sangat penting dan kita perlu menang untuk menghidupkan peluang dalam saingan liga,” katanya.
Beliau turut berharap pemain pertahanan, Ronny Harun dan Rames Lain dapat diturunkan bagi membantu pasukan pada perlawanan itu nanti.
Sarawak akan bertandang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menentang Terengganu pada 4 Julai depan.
Sumber: BP