MFL harap peminat boleh kembali ke stadium

Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan, meletakkan harapan agar penyokong dapat kembali hadir ke stadium apabila merancang untuk mengemukakan permohonan dalam masa terdekat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berpendapat, penyokong yang telah lengkap vaksin dua dos diberikan kelonggaran untuk memasuki stadium dengan kuota kemasukan mengikut kapasiti stadium bagi peringkat awal.

“ Memang kelihatan bahawa liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris ), stadium sudah penuh dengan penonton. Saya dalam hal ini telah bersedia untuk mengemukakan surat permohonan agar dibenarkan penyokong dapat kembali ke stadium.

“ Kelonggaran ini melibatkan individu di mana yang mereka sudah lengkap dua dos dan mereka perlu membuktikan melalui sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera semasa di pintu pagar stadium bersama tiket.

“ MFL tidak minta banyak iaitu sekurang-kurangnya mengekalkan peratus yang sama masuk ke dalam stadium seperti mana sebelum ini atau mungkin ditingkatkan lagi agar dapat memeriahkan perlawanan serta melegakan penyokong-penyokong di Liga Malaysia.

“ Insya Allah kita harap MKN dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya dengan apa yang kita mohonkan ini, ” katanya pada sidang media pertama selaku Presiden MFL secara atas talian, pada Rabu.

Pada awal musim, penyokong dibenarkan hadir ke stadium berdasarkan SOP tertentu dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, manakala untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.

Namun, sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai apabila arahan Fasa1 Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh bermula pada 1 Jun lalu, penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top