Pengacara ASTRO Arena, Dayang Zainatull Aqma merasakan kehilangan Muamer Salibasic dalam kempen Piala Malaysia kali ini sedikit menggusarkan namun beliau berharap pemain tempatan akan mengambil peluang tersebut untuk menyinar dan membantu Sarawak pergi lebih jauh di dalam pertandingan kali ini.
Menurut pengacara cantik dari Kuching itu, Sarawak mempunyai kualiti untuk pergi jauh, dan harus bercita-cita tinggi dalam pertandingan walaupun tanpa kelibat Muamer.
Beliau turut menambah bahawa Bujang Senang bukanlah pasukan belasahan seperti dahulu kala, sambil menjelaskan bahawa Sarawak tidak patut hanya bergantung kepada pemain import, tetapi harus lebih mengutamakan pemain tempatan.
Tambah pengacara yang lebih suka dipanggil ‘Atul’ ini, beliau lebih risau akan kekurangan konsistensi di kalangan pemain semasa Liga Super akan terbawa-bawa ke Piala Malaysia.
Beliau juga menyatakan bahawa kumpulan Piala Malaysia yang dibintangi Sarawak kali ini hampir sama seperti tahun lepas dan ini sepatutnya memberikan Sarawak sedikit kelebihan untuk layak ke peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan Sarawak akan berupaya melepasi peringkat kumpulan pada kali ini dengan mudah, sambil menyatakan “Peluang dah tersedia. Mok sikmok makey benar-benar jak tinggal” (Peluang sudah tersedia. Samada mereka ingin menggunakan peluang tersebut sehabisannya sahaja tinggal).
Sarawak akan bertemu Terengganu pada hari Khamis ini di Stadium Negeri, Sarawak.