Kelab Bolasepak Sarawak United dikhabarkan telah mengetepikan pemain pertahanan Argentina, Nicholas Marotta dari pasukan Sarawak United A (SUA).
Jika benar, kehadiran Marotta sebagai pemain import SUA adalah yang paling singkat di dalam sejarah penubuhan kelab tersebut.
Buat masa ini, belum ada berita sahih berkenaan hal ini, namun media sosial heboh mengatakan bahawa kecederaan yang menimpa Marotta ketika menentang Pulau Pinang FA minggu lalu ‘agak serius’.
Ekoran daripada itu, pihak pengurusan Sarawak United dikhabarkan telah bertindak mengetepikan Marotta dan mencari pengganti baharu.
Kecederaan yang dialami oleh Marotta ketika SUA tewas 4-2 kepada Pulau Pinang tempoh hari tidak dapat dipastikan.
Sungguhpun demikian, Ketua Jurulatih SUA, E. Elavarasan telah menyebut bahawa Marotta sememangnya telah dikeluarkan awal dari perlawanan tersebut akibat kecederaan yang beliau alami.
Kehilangan Marotta pada babak awal perlawanan itu disebut sebagai antara ‘peluang’ yang diambil sepenuhnya oleh Pulau Pinang untuk menewaskan SUA.
Buat masa ini, pihak kami tidak tahu implikasi penukaran pemain import kepada Sarawak United, namun Sarawak United masih boleh membuat pertukaran dan pendaftaran pemain memandangkan jendela perpindahan Liga Malaysia hanya akan tamat pada 15 Mac 2020.