Liga Malaysia ditangguhkan lagi, kelab dan pasukan diminta berbincang

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil maklum arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020 bagi membendung penularan wabak COVID-19.

PKP ini dalam pada itu telah menyebabkan saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguh mulai 16 Mac lalu bakal dilanjutkan lagi penangguhannya untuk satu tempoh yang lebih lama.

FAM selaku badan induk bola sepak negara dan Malaysian Football League (MFL) sebagai pengendali Liga Malaysia 2020 ingin menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, bagi Fasa Pertama ini iaitu berkaitan penangguhan pertandingan, semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 diminta untuk mengadakan perbincangan terbuka di antara pihak pengurusan dan pemain kelab masing-masing supaya satu penyelesaian atau persetujuan bersama dapat dicapai dalam tempoh yang sukar ini.

“Berbanding daripada sekadar mengeluarkan kenyataan atau komen di media sahaja yang hanya akan menyulitkan lagi keadaan, adalah lebih baik pihak kelab atau pasukan berhubung terus dengan para pemain dan pegawai pasukan mereka untuk berbincang secara terbuka berkaitan perkara-perkara penting termasuk isu gaji, kontrak, kebajikan dan sebagainya.

“Dalam keadaan sekarang, FAM berharap agar kelab-kelab, para pemain dan pegawai dapat sama-sama menggunakan budi bicara dan bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekali gus mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.

“Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita ini.

“Pada masa yang sama, FAM dan MFL juga sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai. Jika ada masalah atau pertanyaan, boleh terus hubungi kami,” kata Stuart.

Saingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup adalah di bawah kelolaan MFL manakala Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) di bawah kelolaan FAM.

Sementara, saingan Liga M3 dan M4 pula di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL). Kesemuanya terlibat dengan penangguhan ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, perbincangan di antara kelab dan pemain itu nanti bukan bermaksud semua pemain diminta untuk terus bersetuju dengan pemotongan gaji sepanjang tempoh saingan liga ditangguhkan ketika ini.

“Sebab itulah FAM dan MFL meminta pihak kelab dan pemain serta pegawai pasukan mengadakan perbincangan supaya mereka semua mencapai satu keputusan yang adil untuk semua pihak terbabit.

“Apa yang berlaku ketika ini bukan salah MFL selaku penganjur liga atau salah kelab yang turut kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penangguhan ini. Ia satu situasi berbeza yang belum pernah kita alami sebelum ini. Jadi saya rasa semua pihak termasuk pemain dan para pegawai akan memahaminya.

“Semua yang terlibat perlu mempunyai pandangan yang sama demi menjaga kepentingan bersama. Kita senang sama-sama, kita susah sama-sama,” kata Dato’ Ab Ghani.

Isu COVID-19 ini menyaksikan kelab-kelab serta para pemain dan pegawai di seluruh dunia turut sedang dan telah mengadakan perbincangan terbuka untuk berdepan tempoh sukar dan situasi yang tidak diingini ini secara bersama.

Sementara itu, FAM dan MFL akan memantau dari sehari ke sehari keadaan COVID-19 ini serta mengikut arahan semasa daripada kerajaan sebelum mengeluarkan jadual baharu Liga Malaysia 2020.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top