Pertemuan seteru setempat, Kuching City FC dan Sarawak United FC, sememangnya dinantikan peminat bola sepak kerana ianya merupakan derbi paling ‘panas’ di Malaysia pada masa kini.
Ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti, dalam pada itu sedar bahawa tugas berat menanti pemainnya yang akan berkunjung ke Melaka malam ini bagi menentang ‘abang’ pasukannya, Sarawak United.
Sarawak United yang sehingga kini belum pernah tewas mahupun bolos sejak Liga Premier bermula, diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menang oleh pemerhati bola sepak tempatan.
Ini adalah kerana Sarawak United bukan sahaja dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan dan ternama, tetapi juga disebabkan Sarawak United memiliki waktu rehat lebih lama berbanding Kuching City.
Sarawak United tidak bermain hujung minggu lepas, manakala Kuching City telah mengharungi dua perlawanan menentang pasukan Terengganu II dan JDT II dalam masa seminggu.
Sungguhpun demikian, Irfan tetap yakin bahawa pemainnya akan memberikan yang terbaik apabila pasukan beliau bertemu dengan Sarawak United kelak.
“Walaupun kami masih keletihan selepas bermain dalam dua perlawanan di tempat lawan dalam masa yang singkat (Terengganu II dan JDT II), kami tidak mahu mengecewakan peminat kami dalam perlawanan ini nanti.” kata Irfan kepada akhbar Borneo Post.
Pertembungan buku dengan ruas ini sememangnya lebih hangat dengan peminat – peminat saling berbalas komentar di media sosial berkenaan peluang kedua – dua pasukan.
Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin, telah sebelum ini menyatakan bahawa pasukan beliau akan mengharungi empat perlawanan awal yang sukar, dan ini termasuklah menentang Sarawak United malam ini.
Kemenangan ke atas Sarawak United akan menyaksikan Kuching City mampu melonjakkan diri ke tengah Liga Premier, manakala kekalahan akan menyaksikan kelab tersebut semakin jatuh dari tangga ke sembilan yang didudukinya.
Perlawanan malam ini akan berlangsung di Stadium hang Jebat pada jam 9 malam.