Kelab bola sepak Kuching City gagal mendapatkan kemenangan pertama mereka Sabtu lalu apabila tewas kepada pasukan simpanan JDT FC.
Sungguhpun demikian, pasukan simpanan JDT FC, yang juga digelak pasukan JDT II, yang dahulu mendapati diri mereka di belakang dalam perlawanan itu apabila penyerang import Kuching City, Hudson Dias menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-22.
Kuching City mengekalkan kelebihan satu gol sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Pada babak kedua, JDT II meningkatkan lagi asakan mereka ke kubu Kuching City dan hasilnya, penyerang import pasukan tersebut, Nicholas Alberto menjaringkan gol penyamaan bagi pasukan tuan rumah pada minit ke-49.
JDT II enggan berpuas hati dengan gol penyamaan tersebut dan Mohamad Feroz menjaringkan gol pendahuluan tiga minit kemudian.
Pada minit ke-79, Feroz sekali lagi menewaskan penjaga gol Kuching City, Iqbal Suhaimi, dengan jaringan ketiga dan terakhir perlawanan.
Kedudukan 3-1 memihak JDT II kekal sehingga masa penuh.
Kekalahan Kuching City meletakkan mereka di tangga ke-9 Liga Premier selepas mengharungi dua perlawanan, manakala JDT II melonjak ke tangga ke-7.
Perlawanan Kuching City yang seterusnya adalah menentang seteru setempatnya, Sarawak United di Melaka.