Kuching City ‘come-back’ untuk atasi JDT II

Kuching City meneruskan rentak positif dalam Liga Premier apabila menewaskan pasukan JDT II, yang merupakan pasukan simpanan kelab JDT FC.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Pasir Gudang itu, JDT II terlebih dahulu meledakkan jaringan pembukaan melalui penyerang import sensasinya Fernando Rodriguez seawal minit ke-17.

Sungguhpun demikian, perubahan kepada taktik pada babak kedua menyaksikan Kuching City bangkit menyamakan kedudukan melalui pemain pertahanan Mohd Irwan Syazwin pada minit ke-59, sebelum Amir Amri Saleh menjaringkan gol kemenangan Kuching City pada minit ke-82.

Kemenangan itu memberikan Kuching City tiga mata berharga, sekaligus mengangkat pasukan muda itu ke tangga ke-9 Liga Premier dengan baki lima perlawanan dalam tangan.

Kuching City boleh ‘mencuri’ tempat ke Liga Super musim hadapan sekiranya berjaya memenangi semua baki perlawanan Liga Premier yang dimilikinya, dengan mengharapkan samada Sarawak United atau Negeri Sembilan gagal memungut mata penuh dalam sekurang – kurangnya dua baki perlawanan mereka.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top