Kejayaan pasukan bolasepak Persatuan Bolasepak Kuching memasuki saingan Separuh Akhir Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan disambut gembira oleh peminat bolasepak Sarawak, khususnya yang mendambakan kejayaan di dalam arena bolasepak tempatan.
Di kala pasukan utama milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) terus merundum di persada Liga Super, pasukan naungan FAS, yakni Kuching muncul untuk memberikan sedikit sinaran dan harapan kepada peminat.
Rata-rata komen di media sosial menyaksikan peminat teruja dengan kejayaan Kuching, dan ramai mahukan Kuching menjuarai Liga Bolasepak Rakyat musim ini.
Kuching, yang hanya tewas sekali sehingga ke hari ini, akan cuba membuktikan bahawa mereka adalah antara pasukan terbaik di Malaysia apabila bertemu pasukan Temerloh yang mewakili Pahang malam ini di Stadium Negeri.
Perlawanan yang bakal disaksikan tidak kurang 500 peminat bolasepak itu pasti menarik dengan status Temerloh yang turun selaku pasukan yang belum pernah tewas di dalam Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan sehingga kini.
Jika menang malam ini, Kuching hanya perlu seri di Temerloh untuk memastikan mereka melangkah ke perlawanan akhir Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan.