Perlawanan play-off Liga Premier antara Sarawak FA dan Kuching FA akan berlangsung pada hujung minggu depan sekiranya Kuching dapat membuktikan kestabilan status kewangannya kepada pihak Malaysia Football League (MFL).
Perkara ini diumumkan oleh pihak MFL melalui satu kenyataan media yang mana ianya dipetik sebagai berkata “Sebelum aksi playoff itu yang dijangka berlangsung pada hujung minggu depan, kestabilan status kewangan kedua-dua wakil Liga M3 akan dipertimbangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu.”
Dalam kenyataan media yang sama, MFL juga menyebut bahawa satu lagi pasukan yang melayakkan diri ke perlawanan play-off Liga Premier, yakni Kelantan United, telah diberi ‘bye’ berikutan pembatalan penyertaan Perlis FA.
Pembatalan penyertaan Perlis FA menyaksikan pasukan tersebut tidak layak bermain di dalam perlawanan play-off Liga Premier.
Ini bermaksud Kelantan United secara automatik kini selangkah ke Liga Premier, namun perlu juga meyakinkan MFL berkenaan status kestabilan kewangan pasukan tersebut.
Perlawanan play-off diantara Sarawak FA dan Kuching FA kini menjadi perbualan hangat di kalangan peminat bola sepak Sarawak yang mana tidak sabar lagi menyaksikan pertarungan pasukan bertaraf negeri menetang pasukan bertaraf bahagian.