Keputusan mewajibkan ahli fisioterapi pasukan Liga Malaysia wajib berdaftar dengan MPA tepat

Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA), Dr Mohd Hadzir Abd Manaf percaya keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menetapkan kesemua fisioterapi yang ingin bertugas dengan pasukan Liga Malaysia wajib berdaftar dengan MPA adalah satu langkah tepat.

Tegasnya, keputusan itu bagi memastikan tiada lagi individu melabel diri mereka sebagai fisioterapi tanpa ada kelayakan yang sah.

Jelas Dr Hadzir, mana-mana fisioterapi yang ingin berkhidmat dengan pasukan Liga Malaysia wajib berdaftar dengan MPA bagi mengelakkan ada pasukan yang melantik fisioterapi secara ‘tangkap muat’.

Pendaftaran tersebut bukan sahaja hanya membabitkan fisioterapi tempatan tetapi turut melibatkan fisioterapi luar negara berdasarkan kontrak mereka bersama pasukan.

“Ini merupakan langkah baik yang kita terima kerana kita mahu mengiktiraf profesion fisioterapi dan memastikan orang yang hanya mempunyai kelayakan sebagai fisioterapi sahaja yang bekerja dalam bidang tersebut.

“Untuk berdaftar dengan MPA, mereka perlu menghantar permohonan yang meliputi transkrip dan skrol diploma ataupun sarjana muda mereka dan pihak MPA akan membuat saringan permohonan tersebut.

“Setakat ini pihak kami tak menerima aduan berkenaan kualiti rawatan fisioterapi lagi dari mana-mana pasukan, cuma ada pemain yang berani menerima rawatan akupuntur daripada bukan ahli fisioterapi yang berdaftar dengan kami.

“Kebanyakan fisioterapi yang dari luar negara ini, kita akan berikan status sementara berdasarkan tahun kontrak mereka bekerja di Malaysia setelah melakukan saringan, malah setiap tahun mereka akan diperbaharui kontrak,” katanya.

Keputusan untuk mewajibkan fisioterapi pasukan berdaftar dengan MPA ditetapkan dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin baru-baru ini.

Dalam pada itu Dr Hadzir juga menegaskan bahawa MPA mahu profesion bidang fisioterapi ini berada di kedudukan yang tinggi dan tidak mahu disalah erti kerana masalah yang timbuk akan menjejaskan reputasi mereka sendiri.

Memandangkan permintaan gaji yang tinggi dalam bidang ini, Dr Hadzir tidak menolak akan ada pasukan yang boleh menerima mereka yang bukan dalam bidang fisioterapi untuk bekerja demi pembayaran gaji yang lebih rendah.

“Kami tidak mahu disalah gunakan kerana jika ada pasukan mengambil individu yang bukan dalam bidang tersebut untuk bekerja sebagai fisioterapi, ia pasti akan merendahkan reputasi MPA itu sendiri.

“Saya tidak nafikan akan ada pasukan yang sanggup mengambil mereka yang bukan dalam bidang fisioterapi untuk bekerja disebabkan permintaan gaji yang rendah kerana fisioterapi yang benar-benar berkelayakan sebenarnya dibayar dengan gaji yang agak tinggi berbaloi dengan kepakaran mereka di mana setiap fisioterapi sekurang-kurangnya mestilah mempunyai sijil diploma”, tambahnya lagi.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top