Kemenangan sulung kelab bolasepak Sarawak United mendapat pujian pelbagai pihak yang rata – rata merasakan bahawa kelab itu telah menunjukkan peningkatan yang baik berbanding musim lepas.
Daripada perlawanan tersebut, hantaran – hantaran pendek yang dihidangkan pemain Sarawak United dilihat menarik minat peminat.
Turut mendapat pujian adalah peluang – peluang menjaringkan gol yang dilihat lebih berkualiti pada musim ini dengan kehadiran Norshahrul Idlan Talaha, dan Uche Agba di bahagian serangan.
Kekemasan benteng pertahanan Sarawak United yang hampir tidak teruji malam ini juga mendapat reaksi positif daripada peminat bola sepak Malaysia, yang mana kini mula merasakan bahawa pasukan bimbingan E Elavarasan itu perlu diberi perhatian oleh kelab – kelab bola sepak lain di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, kumpulan ultras paling awal dari Sarawak, UltraCrocs, yang paling akhir mengemaskini laman sosial mereka pada Februari 2018, juga tidak menunggu lama untuk mengemaskini laman sosial mereka dengan menyatakan bahawa aksi Sarawak United diharap bakal menyeru kembali sokongan peminat.
“Aksi sulung jelmaan baru pasukan Sarawak untuk musim 2021 berakhir dengan kemenangan 2-0.
“Tanpa sumbangan gol dari penyerang veteran Mat Yo, Christie Jeyaselan dan sepakan penalti Uche Agba membawa khabar gembira untuk peminat setia Sarawak United.” kata UltraCrocs dalam satu kenyataan.
“Walaupun rata – rata ramai dari kalangan peminat pasukan Sarawak masih merasa ralat/keliru pasukan “Sarawak” mana yang mereka sokong, berpegang kepada prinsip “kita adalah semua, semua adalah kita” kemenangan ini memang menjadi tonik yang dicari – cari peminat.
“Di harap khabar gembira ini bakal menyeru kembali dukungan peminat lain seperti kami.” jelas kumpulan itu lagi.