B Sathiananthan mencadangkan agar pasukan dari Brunei dan Singapura dibawa masuk ke Liga Malaysia sekiranya negara ini berdepan masalah kekurangan pasukan pada musim hadapan.
Beliau mengulas komen Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bertegas mahu tetap meneruskan saingan Liga Malaysia meskipun hanya dengan 10 pasukan.
Hamidin berkata demikian selepas timbul isu bahawa ada pasukan yang masih belum selesai melengkapkan proses pelesenan pasukan pada 31 Ogos ini, dan pemisahan FA ke FC pada 30 Sept akan datang.
“Kalau hanya 10 pasukan yang jadi kelab, kita boleh ambil pasukan luar seperti dari Brunei, Singapura dan sebagainya,” katanya Sathiananthan kepada Sinar Harian.
Sathiananthan juga beranggapan bahawa kemasukan pasukan luar akan dapat memeriahkan lagi Liga Malaysia sambil beliau menegaskan bahawa setiap pasukan yang tersingkir ke Liga M3 mesti mempersiapkan proses perlesenan dan penswastaan kelab sekiranya mahu kembali beraksi di liga profesional negara.
“Ini bagi membantu memeriahkan lagi saingan liga, lagi pun pasukan-pasukan ini lebih dahulu menggunakan status FC berbanding kita.
“Pasukan-pasukan yang tersingkir ke saingan Liga-M3 pula jika mahu kembali ke saingan liga utama perlulah menyiapkan proses pelesenan serta proses penswastaan kelab.” tambahnya lagi.