Pasukan di kedudukan kedua Liga Premier, Negeri Sembilan, tewas mengejut kepada Kelantan hari ini, sekaligus membuka peluang yang lebih cerah kepada pasuk Borneo, Kuching City untuk mara ke Liga Super 2022.
Biarpun ianya masih satu perjalanan yang jauh dan sudah pasti sukar bagi anak buah Irfan Bakti, kekalahan pasukan Negeri Sembilan bermakna Kuching City kini mempunyai peluang lebih cerah untuk ke Liga Super secara merit jika kekal tanpa kalah sehingga berakhirnya Liga Premier musim ini.
Secara matematiknya, mata maksimum Negeri Sembilan jika memenangi semua baki perlawanan Liga Premiernya adalah 41, manakala Kuching City boleh memperolehi 40 mata jika berbuat sama.
Oleh itu, sekiranya Kuching City tewas atau seri mahupun satu perlawanan, hasrat ke Liga Super mereka pada musim hadapan akan terkubur, namun sekiranya mereka berjaya mengekalkan rekod kemenangan di Pasir Gudang sehingga tamat musim, dan Negeri Sembilan seri atau tewas satu lagi perlawanan, kedudukan ke Liga Super akan pasti menjadi terbuka untuk kedua – dua pasukan ini.
Dengan Sarawak United kini dilihat hampir pasti ke Liga Super 2022, ianya sememangnya akan menjadi satu kejayaan manis sekiranya Kuching City juga mengorak langkah sama pada musim hadapan kerana ini bermakna akan ada dua pasukan dari Sarawak di liga bola sepak tertinggi Malaysia.
Sungguhpun demikian, seperti yang kami nyatakan pada awal artikel ini, peluang Kuching City kini lebih jelas, namun ianya bukan mudah, dan Kuching City perlu memastikan mereka mampu memenangi semua baki perlawanan sekiranya mahu ada peluang lebih cerah untuk mengiringi Sarawak United.